Institut Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang

Penaung
Cik.Hjh.Rosenah Binti Mohd Noor
Pengarah IPTB
 
Tn. Hj. Daud Bin Md. Saman
Timbalan Pengarah IPTB

Ketua Pensyarah Penasihat
Dr. Sajap Maswan

Pensyarah Penasihat

Encik Saminathan a/l Govindasamy
En. Khairul Akhbar Bin Masnor
Ustaz Rahim @ Saleh Bin Ramly
En. Mohamad Bin Chat
En. Teh Thiam Kian
Ustaz Subki Bin Mohamad
En. Abu Kasim Bin Ali Musa
Tn.Hj. Mohd. Zaki Bin Shamsudin
En. Mohd. Nasir Bin Othman
Pn. Rohaida Binti Bakar
Pn. Shakirah Binti Md. Din

 

Anda adalah pengunjung yang ke

free counter 


Penghargaan

Setinggi-tinggi penghargaan kepada para penulis Modul Panduan KRS. Banyak bahan daripada laman web ini adalah berdasarkan modul tersebut.

Panel Penulis Modul KRS

Laman Web ini adalah untuk tujuan P&P semata-mata. Segala kesilapan yang mungkin berlaku sila maklumkan kepada webmaster dan didahului dengan ucapan kemaafan dan terima kasih

 


 

Home

Selamat Datang ke Laman Web Kadet Remaja Sekolah Institut Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang. Semoga anda akan mendapat maklumat-maklumat berkaitan dengan aktiviti KRS khususnya di IPTB ini.

Unit Beruniform KRS terus menjadi Johan Pertandingan Perbarisan KOT 2011

Pada tahun ini sekali lagi Pasukan KRS menjadi Johan Pertandingan Perbarisan antara unit berunifom sempena Kejohanan Olahraga Tahunan (KOT) IPG Kampus Tuanku Bainun. Tahniah kepada semua yang terlibat kerana bersungguh-sungguh dalam membuat latihan dan persiapan.

Kumpulan KRS PISMP Semester 3 - 2011, Johan Pertandingan Perbarisan

Gambar lain sila KLIK

Unit Beruniform KRS Johan Pertandingan Perbarisan KOT 2010

Sempena Kejohan Olahraga Tahunan IPG Kampus Tuanku Bainun Pasukan KRS telah menewaskan pasukan berunifom lain dalam acara perbarisan. KRS telah menduduki tempat pertama diikuti pasukan Pengakap. Tahniah kepada semua anggota KRS dari kumpulan PISMP di atas usaha gigih menjalani latihan sehingga bejaya menjuarai pertandingan tersebut. Diharapkan pasukan terus mantap di masa-masa yang akan datang.

Pasukan KRS dari Kumpulan PISMP selaku Johan Perbarisan KOT 2010. Gambar lain sila KLIK

Unit Beruniform KRS Johan Pertandingan Kawat Program Hari Tamat GERKO 2009

Pada tahun ini Pasukan KRS telah menjuarai pertandingan kawat antara unit beruniform sempena Majlis Penutupan GERKO 2009. Tempat ke dua telah disandang oleh Pasukan Pengakap. Sementara itu dalam pertandingan perkhemahan dan gajet pasukan Pengakap telah menduduki tempat pertama dan KRS menduduki tempat ke dua. Tahniah kepada semua pegawai KRS yang telah bertungkus lumus menjalani latihan untuk menyertai pertandingan tersebut. Kejayaan ini mesti dikekalkan untuk kumpulan yang akan datang.

Pasukan KRS seramai 31 orang sedang menunjukkan kemahiran mereka dalam pertandingan kawad. Gambar lain sila KLIK

27 Pelajar PISMP Semester 4, 2009 Ditauliahkan Leftenan Muda (KRS)

Seramai 27 orang anggota KRS Kumpulan PISMP Semester 4, telah berjaya menamatkan perkhemahan serta lulus ujian untuk melayakkan mereka ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda KRS. Perkhemahan tersebut telah di jalankan di PULAKO Zon Utara mulai 7 hingga 10 Oktober 2009. Pelbagai kemahiran dan pengetahuan telah diuji. Antaranya ialah ujian kawad, orienteering, ikatan, pertolongan cemas, ikhtiar hidup dan sebagainya. Tahniah kepada semua yang telah berjaya.

Pentauliahan Leftenan Muda (KRS) PISMP Semester 4, 7-10 Oktober 2009 di PULAKO IPSAH Kedah Darul Aman.

Aktiviti orienteering dan kembara Kumpulan PISM Semester 4, Oktober 2009. Gambar lain sila KLIK

67 Pelajar KPLI Ambilan Januari 2009 Ditauliahkan Leftenan Muda (KRS)

Pada 13 hingga 16 April yang lalu seramai 67 orang pelajar KPLI Ambilan Januari 2009 telah mengikuti Perkhemahan KRS Wilayah Utara yang dijalan kan di PULAKO, IPSAH dan Pantai Merdeka. Pelbagai latihan dan ujian telah dilalui sepanjang tempoh tersebut. Antaranya ialah ujian kawat, perkhemahan, tali-temali, pertolongan cemas, orienteering, kembara, air, kayak dan sebagainya. Di akhir kursus semua ahli KRS dari IPGM Kampus Tuanku Bainun telah lulus dalam ujian tersebut dan berjaya ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda (KRS).

Pentauliahan Leftenan Muda (KRS) KPLI Ambilan Januari 2009 di PULAKO IPSAH Kedah Darul Aman. Gambar lain silaKLIK Album1 / Album2 / Album3

Perkhemahan KRS Kumpulan PISMP Samester 4 2008 Gambar lain sila KLIK 1, KLIK 2

Perkhemaan Zon Utara Kumpulan KPLI Ambilan Jan 2008. Gambar lain sila KLIK

Perkhemahan Kumpulan OUM di Jertih Terengganu 2008 .Gambar lain sila KLIK

Kumpulan KPLI ambilan Julai 2007. Gambar lain sila KLIK

Kumpulan KPLI ambilan 2006.

Selamat datang dan tahniah kepada semua pensyarah yang telah dilantik sebagai penasihat kepada Pertubuhan Kadet Remaja Sekolah Institut Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang. Di antara pensyarah yang baru menyertai persatuan ini mulai sesi Julai 2007 ialah En. Khairul Akhbar, En. Mohamad, Ustaz Rahim, Pn. Rohaida dan Pn. Sharawati. Kedatangan anda ke dalam organisasi ini sangat dialu-alukan dan kepakaran anda semua sangat diperlukan bagi mengukuhkan lagi pertubuhan ini. Kami juga tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan pensyarah yang telah menerajui KRS IPTB sebelum ini seperti, En. Sahjahan, En. Khalid, En. NorAzman dan lain-lain lagi, Walaupun anda sudah berhijrah ke IPG yang lain khidmat anda semua masih kami perlukan.

Antara Pensyarah Penasihat

Pensyarah Penasihat

Tahniah kepada pegawai KRS Kumpulan KPLI ambilan Januari 2007 kerana telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda KRS. Semoga anda akan terus bersemangat untuk memberikan khidmat yang cemerlang apabila kembali ke sekolah nanti. Kepada pegawai latihan KRS dari Kumpulan OUM dan KPLI ambilan Januari 2007 selamat menjalani praktikum.

Tahniah dan syabas kepada pegawai Latihan KRS dari Kumpulan KPLI ambilan Julai 2007 kerana telah terpilih untuk menyertai pertubuhan ini. Semoga anda akan dapat menimba pelbagai pengalaman melalui aktiviti KRS yang telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang anda semua mengikuti kursus selama setahun di institut ini.


Program Perkhemahan dan Kursus Kepegawaian KRS Kumpulan KPLI

NAMA PENULIS: AZAINORA BINTI AHMAD
OPSYEN : KPLI-SAINS (M)
LOKASI : Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu

Perjalanan selama 8 jam lebih begitu memenatkan kami semua. Namun saya begitu teruja kerana telah sampai ke destinasi walaupun sudah hampir malam. Kami merupakan institut yang ke dua terakhir sampai ke tapak perkhemahan. Dengan letih dan pening- pening lalat, kami mula mendirikan khemah memandangkan hari semakin gelap, dan institut lain sudah selesai mendirikan khemah. Tidak siap semua khemah dipasang, kami sudah dipanggil menjalankan aktiviti bantu mula. Kami diajar beberapa teknik asas dalam memberikan pertolongan jika berlaku kecemasan. Malamnya pula kami mengikuti aktiviti sesi perkenalan. Kumpulan KRS dari maktab kami adalah antara yang paling sedikit iaitu seramai 21 orang sahaja, dan kebanyakannya dianggotai pelatih perempuan. Jadi suara kami semasa kawad agak perlahan dan tidak gah sepertimana institut yang lain. Kekadang terasa segan, namun pihak urusetia dan juga jurulatih tidak begitu kisah, asalkan kami mengikuti segala aktiviti, dianggap sudah memberikan kerjasama yang baik.

Hari kedua pula, berjalan baik awalnya. Namun di malam hari segala aktiviti tergendala memandangkan hujan turun dengan lebat. Kami terperangkap dalam khemah. Saya terpaksa membetulkan khemah kami dalam hujan yang lebat memandangkan khemah kami hampir runtuh disebabkan pancang khemah itu tercabut, memandangkan tanah di kawasan tersebut telah lembut. Kawasan pula menjadi becak, dan kawasan khemah ditakungi air. Namun khemah kami kurang terjejas memandangkan berada di kawasan bukit. Namun khemah rakan- rakan yang lain sudah mengalami ’banjir kilat’, segala beg dan peralatan yang lain dimasuki air. Di sebalik kegelisahan dan kekecohan, kami akhirnya dipindahkan ke dalam chalet untuk malam itu, untuk elak sebarang musibah (dari aspek keselamatan) yang mungkin berlaku. Walaubagaimanapun, saya agak cemburu dengan rakan- rakan yang lain memandangkan mereka boleh tidur lena di dalam chalet. Saya pula terpaksa berjaga malam memandangkan malam itu saya terpaksa sentri di tapak perkhemahan. Jadi, saya hanya sempat tidur 2 jam lebih je kat chalet tu.


NAMA : NUR FATIHAH BINTI IBRAHIM
OPSYEN : KPLI-SAINS (M)
PROGRAM : Perkhemahan dan Kursus Kepegawaian KRS
LOKASI : Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu

Pertama kali menjejak kaki ke kawasan perkhemahan, saya amat kagum dengan keadaan persekitaran tapak perkemahan yang padat dengan peserta dari pelbagai maktab. Kami kemudiannya bekerjasama untuk mendirikan khemah di tapak kawasan yang diberi. Setiap pasukan dibekalkan dengan keperluan bahan mentah untuk masakan sepanjang tempoh 4 hari perkemahan dijalankan.

Program pertama, iaitu Bantu Mula, dimulakan pada pukul 5 petang. Para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bergerak menuju ke 4 stesyen yang berlainan. Di setiap stesyen, kami diajar cara- cara melakukan rawatan kecemasan ke atas mangsa kemalangan sebelum bantuan tiba. Setiap stesyen mempunyai 4 jenis rawatan kecemasan yang berlainan, iaitu rawatan untuk membalut kepala mangsa dengan menggunakan kain anduh, membalut tangan yang patah, membalut di sekitar buku lali kaki yang terkehel dan membalut luka di tangan.

Program kedua iaitu Sesi Suai Kenal dan Team Building, setiap pasukan memperkenalkan maktab masing- masing. Terdapat 10 maktab yang menyertai perkemahan kali ini, iaitu maktab dari zon timur dan utara. Selain daripada itu, dua buah maktab dari zon selatan turut menyertai perkemahan ini. Kami mengambil peluang untuk berkenal- kenalan dengan maktab- maktab yang lain. Hasil daripada perkenalan dengan para pesarta lain, saya mendapati kebanyakan mereka mengikuti opsyen sains, sama ada renda atau menengah. Saya mengambil kesempatan untuk bertanyakan tentang keadaan pembelajaran di maktab lain.

Pada hari kedua, sesuatu yang didak dijangka telah berlaku, iaitu hujan yang lebat telah membanjiri khemah kami. Dalam keadaan yang kesejukan dan dan rindukan keluarga, kami sabar mengharungi dugaan tersebut. Keadaan khemah yang basah kuyup dan terdapat dahan pokok yang runtuh menghempap khemah salah satu pasukan, menyebabkan akhirnya kami dipindahkan ke chalet . Walaupun terpaksa berkongsi 12 orang satu bilik, pada ketika itu, nikmatnya menikmati kehangatan tilam separa empuk adalah tidak terhingga walaupun terpaksa berhimpit beramai- ramai.

Perkemahan KRS kali ini banyak mengajar saya erti kesabaran dalam menempuhi setiap dugaan dan halangan. Sebagai seorang yang lebih gemarkan aktiviti ‘indoor’, saya agak ‘skeptikal’ dengan aktiviti- aktiviti perkemahan yang memerlukan tenaga dan daya tahan lasak yang tinggi. Namun, apabila saya berjaya menempuhi setiap halangan dengan penuh ketabahan, ia telah memberikan saya satu inspirasi untuk menjadi seorang guru yang sanggup menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam dunia pendidikan.


Sejarah Penubuhan KRS

Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pasukan ini pada mulanya dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar Islam SMRA (PERWIRA) Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar daripada tingkatan 1 dan 2.
Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang yang BERILMU BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat patriotik dan berketrampilan, selaras dengan usaha dan hasrat mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara ke arah Wawasan 2020.


Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN (AD-DEEN). Mulai tahun 1989, beberapa buah sekolah di Wilayah Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM.
Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah sekolah menengah di seluruh negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara rasmi dan; bernaung di bawah Kementerian Pendidikan telah dimulakan pada 10 Ogos 1993, dan satu pertemuan telah diadakan dengan Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid b. Wan Mohd Nordin, iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September 1993. Tesis mengenai KPIM telah dibentangkan dalam pertemuan ini. Hasil daripada pertemuan tersebut, sebuah jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet, dan jawatankuasa ini telah mencadangkan agar pasukan ini diberi nama KADET PUTERA-PUTERI ISLAM (KPIM).


Walaubagaimanapun, nama pasukan ini telah ditukar kepada KADET REMAJA ISLAM (KRIS). Sementara itu, taklimat dan pendedahan kepada Pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang telah diadakan pada bulan Oktober 1993 telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada Kadet Remaja Sekolah yang membuka keahliannya kepada semua kaum sama ada lelaki atau perempuan.


Upacara Pelancaran Kadet Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharram 1416 oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak, Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur.
Pada bulan November-Disember tahun yang sama, seramai 300 orang guru telah dilatih sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah peringkat negeri. Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah sebenarnya mempunyai keunikan konsep dan falsafahnya yang tersendiri yang membezakan pasukan ini dari pasukan-pasukan beruniform yang lain. Kegiatan yang dijalankan, digandingkan dengan unsur-unsur pengukuhan dan pemantapan jiwa dan rohani setiap anggota pasukan. Pelajar yang meanggotai pasukan ini bukan sahaja dibangunkan dari aspek jasmaninya melalui kegiatan kegiatan yang mencabar inteleknya melalui kegiatan-kegiatan kreatif, bahkan juga jiwa dan rohaninya melalui amalan-amalan langsung ibadah khusus dan umum.


Objektif Penubuhan KRS

• Membentuk generasi pelajar yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki ketrampilan diri, berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.

• Membantu mengembangkan semua aspek potensi manusia yang berteraskan ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar yang mengamalkan nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Negara demi menjayakan Wawasan 2020.


• Menangani masalah salah laku di kalangan para remaja seperti salah guna dadah, melepak dan juvana.


• Mempelbagaikan kegiatan pasukan beruniform di sekolah bagi menyediakan para pelajar memperoleh pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.
• Membina generasi pelajar patriotik yang menjiwai semangat cintakan agama, bangsa dan negara.


• Melahirkan generasi pelajar yang mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni serta mampu memberikan sumbangan demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara


• Membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan mengenai isu-isu semasa di kalangan pelajar serta berkeupayaan untuk bertindak sewajarnya.


Logo KRS

Perisai melambangkan tentang kefahaman diri daripada gejala yang tidak sihat. Bulan dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia . Dua tangkai padi bersilang melambangkan resmi padi iaitu berilmu dan berketrampilan serta matang dan rasional dalam semua tindakan. Buku yang terbuka dan rehal melambangkan peranan institusi pendidikan yang mementingkan tradisi ilmu untuk semua tanpa megira keturunan dan kaum, agama, dan latar belakang budaya ke arah melahirkan bangsa Malaysia selaras dengan Falsafah Pendidkan Negara.

     

  • Warna hijau melambangkan alam sekitar yang sihat.
  • Warna merah melambangkan keperwiraan dan sedia berjuang mempertahankan negara yang tercinta.
  • Warna kuning melambangkan warna diraja yang manjadi tonggak kedaulatan negara Malaysia.
  • Warna putih melambangkan keikhlasan dan kesucian. Warna hijau malambangkan

    Tunas muda /remaja yang masih boleh dibentuk.
    Laluan hidup yang jelas untuk masa hadapan.
    Alam sekitar merupakan sebahagian daripada kurikulum.
    Cogan kata KRS " ILMU IMAN AMAL"

    ILMU : Asas keintelektualan dan ketrampilan ahli KRS.
    IMAN: Keimanan yang mendalam merupakan asas pembinaan diri.
    AMAL: Penghayatan dan perlakuan gaya hidup sihat yang berterusan merupakan natijah daripada kekuatan intelektual dan disiplin diri


    Lagu KRS


    Kadet Remaja Sekolah,
    Menuju satu ikatan bersaudara,
    Bersatu menjulang, keamanan Negara,
    Menjayakan ilmu, iman dan amal.

    Marilah kita membina peribadi,
    Membentuk insan yang kereatif,
    Kearah kecermelangan diri,
    Sepanjang masa yang berterusan.

    Remaja sambutlah cabaran,
    Menjadi bangsa Malaysia,
    Maju dan cemerlang, remaja berwawasan,
    Jangan kita lupa kepada pencipta.

    Remaja hayati budaya,
    Ilmu, iman dan amal,
    Tetapkan di hati dan jiwamu,
    Wawasan Kadet Remaja Sekolah.


    Lagu: Mejar Muhammad Thani B. Shaaban
    Lirik: Left. Ustaz Roslan B. Abd. Rahman
    Muzik: Bah. Teknologi Pendidikan, Kementerian Pend. Malaysia

    Download Lagu KR


SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL.4/1995 :
PELAKSANAAN KADET REMAJA SEKOLAH (KRS)




BAHAGIAN SEKOLAH,
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
PARAS 5, BLOK J (SELATAN),
PUSAT BANDAR DAMANSARA,
50604 KUALA LUMPUR. Tel : 03 - 2556900
Fax : 03 - 2562389
Kawat : ``PELAJARAN"
________________________________________

KP(BS)8591/Jld.IV(4)
Tarikh : 19 Julai 1995
Semua Pengarah Pendidikan Negeri
Yang Berbahagia Datuk/Tuan,


SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL.4/1995 :
PELAKSANAAN KADET REMAJA SEKOLAH (KRS)
________________________________________

1.0 LATAR BELAKANG
1.1 Pelajar adalah aset yang amat berharga dalam menentukan arah pembangunan pada masa akan datang. Dalam konteks pendidikan kebangsaan kegiatan kokurikulum merupakan satu program penting demi membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh. Secara umum kegiatan kokurikulum yang sedia ada telah berjaya membina disiplin pelajar serta meningkatkan minat mereka terhadap pembelajaran. Namun demikian masih banyak ruang yang perlu dipenuhi untuk mengatasi masalah generasi muda yang semakin mencabar. Bagi mengisi tuntutan ke arah negara maju, kita perlu menyediakan golongan pelajar yang dinamik dan berkualiti serta mempunyai perkembangan sahsiah yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).
1.2 Menyedari keperluan ini Kadet Remaja Sekolah (KRS) hendaklah ditubuhkan di semua sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara sebagai salah satu pasukan Pakaian Seragam di sekolah. Kewujudan KRS sekaligus dapat memenuhi kepelbagaian citarasa, minat dan bakat pelajr berdasarkan objektif yang dikemukakan.

2.0 RASIONAL
Menyedari hakikat bahawa minat serta kecenderungan pelajar kepada pasukan pakaian seragam di sekolah amat ketara sedangkan peluang untuk menyertai amat terhad, wajarlah KRS ditubuhkan bagi tujuan memenuhi minat serta untuk mengatasi masalah salah laku di kalangan remaja seperti penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, budaya lepak dan juvana. Oleh itu aktiviti KRS diharap dapat mengembangkan semua aspek potensi manausia yang berteraskan ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar yang mengamalkan nilai-nilai murni dan moral yang tinggi selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.


3.0 MATLAMAT

Melahirkan pelajar cemerlang yang berminat, berakhlak mulia, berilmu dan berketrampilan seiras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara ke arah menjayakan Wawasan 2020.

4.0 OBJEKTIF
4.1 Membina generasi bersemangat patriotik yang cintakan agama, bangsa dan negara.
4.2 Melahirkan generasi yang mengetahui, memahami, menghayati dan mengamalkan akhlak Islam serta mampu memberikan sumbangan demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.
4.3 Menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperolehi pengetahuan, pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.
4.4 Membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan di kalangan pelajar mengenai isu-isu semasa serta berkeupayaan untuk bertindak sewajarnya.
45. Membentuk generasi yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki ketrampilan diri, berdaya saing, bersemangat juang, kreatif serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.

5.0 STRUKTUR ORGANISASI
5.1 Struktur organisasi Peringkat Kebangsaan, Negeri dan Daerah seperti berikut:
a. Penaung
b. Penasihat
c. Pengerusi
d. Timbalan Pengerusi
e. Naib Pengerusi
f. Setiausaha Kehormat
g. Penolong Setiausaha Kehormat
h. Bendahari Kehormat
i. AJK dilantik
5.2 Jawatankuasa terdiri daripada empat peringkat:
a. Peringkat Kebangsaan
b. Peringkat Negeri
c. Peringkat Daerah
d.Peringkat Sekolah
Maklumat lengkap struktur organisasi boleh didapati dalam Perlembagaan KRS.

6.0 KEAHLIAN
6.1 Keahlian KRS adalah terbuka semua pelajar di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
6.2 Ahli bersekutu KRS terbuka kepada semua pelajar yang menuntut di institusi pendidikan selain daripada dinyatakan dalam perkara 6.1
6.3 KRS yang dianggotai oleh ahli bersekutu diurus oleh institusi di mana KRS itu ditubuhkan.
6.4 Keahlian KRS lucut serta merta apabila pelajar tersebut berhenti atau diberhentikan daripada sekolah atau institusi seperti yang dinyatakan di atas.

7.0 KURIKULUM
7.1 Teras
a. Pendidikan Ketatanegaraan/Patriotisma
b. Latihan Fizikal
c. Pendidikan Kerohanian
7.2 Umum
a. Aktiviti Di air
b. Aktiviti Di darat
c. Aktiviti Pengembaraan
d. Latihan Mental
e. Latihan Kewarganegaraan
f. Aktiviti Ketahanan Diri
g. Aktiviti Pendidikan Luar
h. Aktiviti Pendidikan Alam Sekitar
i. Aktiviti Kemahiran Hidup (Keusahawanan)
j. Aktiviti Khidmat (Khidmat Masyarakat)

8.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN
8.1 Fokus utama pengurusan dan pelaksanaan aktiviti KRS peringkat Kebangsaan, Negeri dan Daerah ialah seminar dan bengkel konsep dan operasi KRS.
8.2 Kursus Pemimpin di peringkat sekolah menumpukan kepada aspek-aspek pelaksanaan aktiviti KRS.

9.0 YURAN KEAHLIAN
9.1 Yuran Keahlian dikenakan sebanyak RM 1.00 bagi setiap ahli.

10.0 PAKAIAN SERAGAM (UNIFORM)

Maklumat terperinci mengenai pakaian Seragam (Uniform) boleh didapati dalam buku Perlembagaan KRS.


11.0 KESELAMATAN DIRI


12.0 PENGECUALIAN
Pelajar-pelajar dalam keadaan seperti berikut boleh dikecualikan daripada menyertai KRS
12.1 Kes-kes Perubatan, Pelajar-pelajar yang telah disahkan oleh doktor mengidap sakit jantung. lelah dan lain-lain penyakit yang boleh membahayakan jika mengambil bahagian dalam aktiviti KRS.
12.2 Kecacatan, Pelajar-pelajar yang mempunyai kecacatan anggota tubuh yang boleh membahayakan diri mereka jika mengambil bahagian dalam aktiviti KRS. Tetapi sekiranya kecacatan mereka tidak menjadi penghalang, pelajar-pelajar tersebut hendaklah digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti yang sesuai bagi mereka .
12.3 Kelas Agama, untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas-kelas agama di waktu pagi/petang, satu penyesuaian terhadap aktiviti KRS hendaklah diadakan. Untuk tujuan ini, Pengetua hendaklah berunding dengan pihak sekolah/Jabatan berkenaan .

13.0 PEMANTAUAN
13.1 Tugas pemantauan hendaklah dilakukan oleh:
a. Pengarah Pendidikan Negeri
b. Pegawai Pendidikan Daerah
c. Pengetua
d. Ketua Penolong Pengarah dan Penyelia Kokurikulum JPN
e. Penyelia Pejabat Pendidikan Daerah
13.2 Pemantauan merangkumi perkara-perkara berikut:
a. Laporan aktiviti
b.Laporan kewangan
14.0 Sila maklumkan kandungan Pekeliling ini bersama-sama dengan lampirannya kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di negeri Y. Bhg. Dato'/Datuk/Tuan.
Sekian, terima kasih.

``BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

(TAN SRI DATUK DR. WAN MOHD ZAHID BIN MOHD NORDIN)
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
s.k. 1. Y. B. Datuk Seri Mohd. Najib b. Tun Hj. Abdul Razak
Menteri Pendidikan Malaysia
2. Y. B. Datuk Khalid b. Yunus
Timbalan Menteri Pendidikan
3. Y. B. Datuk Dr Fong Chan Onn
Timbalan Menteri Pendidikan
4. Ketua Setiausaha
Kementerian Pendidikan Malaysia
5. Timbalan Ketua Setiausaha I
Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia
6. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan I
Kementerian Pendidikan Malaysia
7. Timbalan Ketua Setiausaha II
Kementerian Pendidikan Malaysia
8. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan II
Kementerian Pendidikan Malaysia
9. Semua Ketua Bahagian
Kementerian Pendidikan Malaysia
10. Ketua Perhubungan Awam
Kementerian Pendidikan Malaysia


 

 
     

Pertubuhan Kadet Remaja Sekolah
Institut Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang

Sekiranya anda mempunyai pandangan atau cadangan sila hubungi webmaster laman ini;

Webmaster