Kumpulan
KPLI ambilan 2006.
Selamat
datang dan tahniah kepada semua pensyarah yang telah dilantik
sebagai penasihat kepada Pertubuhan Kadet Remaja Sekolah Institut
Perguruan Tuanku Bainun Pulau Pinang. Di antara pensyarah yang
baru menyertai persatuan ini mulai sesi Julai 2007 ialah En.
Khairul Akhbar, En. Mohamad, Ustaz Rahim, Pn. Rohaida dan Pn.
Sharawati. Kedatangan anda ke dalam organisasi ini sangat dialu-alukan
dan kepakaran anda semua sangat diperlukan bagi mengukuhkan
lagi pertubuhan ini. Kami juga tidak lupa mengucapkan ribuan
terima kasih kepada rakan-rakan pensyarah yang telah menerajui
KRS IPTB sebelum ini seperti, En. Sahjahan, En. Khalid, En.
NorAzman dan lain-lain lagi, Walaupun anda sudah berhijrah ke
IPG yang lain khidmat anda semua masih kami perlukan.
Antara
Pensyarah Penasihat
Pensyarah
Penasihat
Tahniah
kepada pegawai KRS Kumpulan KPLI ambilan Januari 2007 kerana
telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda KRS. Semoga
anda akan terus bersemangat untuk memberikan khidmat yang cemerlang
apabila kembali ke sekolah nanti. Kepada pegawai latihan KRS
dari Kumpulan OUM dan KPLI ambilan Januari 2007 selamat menjalani
praktikum.
Tahniah
dan syabas kepada pegawai Latihan KRS dari Kumpulan KPLI ambilan
Julai 2007 kerana telah terpilih untuk menyertai pertubuhan
ini. Semoga anda akan dapat menimba pelbagai pengalaman melalui
aktiviti KRS yang telah dirancang dan akan dilaksanakan sepanjang
anda semua mengikuti kursus selama setahun di institut ini.
Program Perkhemahan dan
Kursus Kepegawaian KRS Kumpulan KPLI
NAMA PENULIS: AZAINORA
BINTI AHMAD
OPSYEN : KPLI-SAINS (M)
LOKASI : Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu
Perjalanan
selama 8 jam lebih begitu memenatkan kami semua. Namun saya
begitu teruja kerana telah sampai ke destinasi walaupun sudah
hampir malam. Kami merupakan institut yang ke dua terakhir sampai
ke tapak perkhemahan. Dengan letih dan pening- pening lalat,
kami mula mendirikan khemah memandangkan hari semakin gelap,
dan institut lain sudah selesai mendirikan khemah. Tidak siap
semua khemah dipasang, kami sudah dipanggil menjalankan aktiviti
bantu mula. Kami diajar beberapa teknik asas dalam memberikan
pertolongan jika berlaku kecemasan. Malamnya pula kami mengikuti
aktiviti sesi perkenalan. Kumpulan KRS dari maktab kami adalah
antara yang paling sedikit iaitu seramai 21 orang sahaja, dan
kebanyakannya dianggotai pelatih perempuan. Jadi suara kami
semasa kawad agak perlahan dan tidak gah sepertimana institut
yang lain. Kekadang terasa segan, namun pihak urusetia dan juga
jurulatih tidak begitu kisah, asalkan kami mengikuti segala
aktiviti, dianggap sudah memberikan kerjasama yang baik.
Hari
kedua pula, berjalan baik awalnya. Namun di malam hari segala
aktiviti tergendala memandangkan hujan turun dengan lebat. Kami
terperangkap dalam khemah. Saya terpaksa membetulkan khemah
kami dalam hujan yang lebat memandangkan khemah kami hampir
runtuh disebabkan pancang khemah itu tercabut, memandangkan
tanah di kawasan tersebut telah lembut. Kawasan pula menjadi
becak, dan kawasan khemah ditakungi air. Namun khemah kami kurang
terjejas memandangkan berada di kawasan bukit. Namun khemah
rakan- rakan yang lain sudah mengalami ’banjir kilat’,
segala beg dan peralatan yang lain dimasuki air. Di sebalik
kegelisahan dan kekecohan, kami akhirnya dipindahkan ke dalam
chalet untuk malam itu, untuk elak sebarang musibah (dari aspek
keselamatan) yang mungkin berlaku. Walaubagaimanapun, saya agak
cemburu dengan rakan- rakan yang lain memandangkan mereka boleh
tidur lena di dalam chalet. Saya pula terpaksa berjaga malam
memandangkan malam itu saya terpaksa sentri di tapak perkhemahan.
Jadi, saya hanya sempat tidur 2 jam lebih je kat chalet tu.
NAMA : NUR FATIHAH BINTI IBRAHIM
OPSYEN : KPLI-SAINS (M)
PROGRAM : Perkhemahan dan Kursus Kepegawaian KRS
LOKASI : Peladang Setiu Agro Resort, Terengganu
Pertama
kali menjejak kaki ke kawasan perkhemahan, saya amat kagum dengan
keadaan persekitaran tapak perkemahan yang padat dengan peserta
dari pelbagai maktab. Kami kemudiannya bekerjasama untuk mendirikan
khemah di tapak kawasan yang diberi. Setiap pasukan dibekalkan
dengan keperluan bahan mentah untuk masakan sepanjang tempoh
4 hari perkemahan dijalankan.
Program pertama, iaitu Bantu Mula, dimulakan pada pukul 5 petang.
Para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bergerak menuju
ke 4 stesyen yang berlainan. Di setiap stesyen, kami diajar
cara- cara melakukan rawatan kecemasan ke atas mangsa kemalangan
sebelum bantuan tiba. Setiap stesyen mempunyai 4 jenis rawatan
kecemasan yang berlainan, iaitu rawatan untuk membalut kepala
mangsa dengan menggunakan kain anduh, membalut tangan yang patah,
membalut di sekitar buku lali kaki yang terkehel dan membalut
luka di tangan.
Program
kedua iaitu Sesi Suai Kenal dan Team Building, setiap pasukan
memperkenalkan maktab masing- masing. Terdapat 10 maktab yang
menyertai perkemahan kali ini, iaitu maktab dari zon timur dan
utara. Selain daripada itu, dua buah maktab dari zon selatan
turut menyertai perkemahan ini. Kami mengambil peluang untuk
berkenal- kenalan dengan maktab- maktab yang lain. Hasil daripada
perkenalan dengan para pesarta lain, saya mendapati kebanyakan
mereka mengikuti opsyen sains, sama ada renda atau menengah.
Saya mengambil kesempatan untuk bertanyakan tentang keadaan
pembelajaran di maktab lain.
Pada
hari kedua, sesuatu yang didak dijangka telah berlaku, iaitu
hujan yang lebat telah membanjiri khemah kami. Dalam keadaan
yang kesejukan dan dan rindukan keluarga, kami sabar mengharungi
dugaan tersebut. Keadaan khemah yang basah kuyup dan terdapat
dahan pokok yang runtuh menghempap khemah salah satu pasukan,
menyebabkan akhirnya kami dipindahkan ke chalet . Walaupun terpaksa
berkongsi 12 orang satu bilik, pada ketika itu, nikmatnya menikmati
kehangatan tilam separa empuk adalah tidak terhingga walaupun
terpaksa berhimpit beramai- ramai.
Perkemahan
KRS kali ini banyak mengajar saya erti kesabaran dalam menempuhi
setiap dugaan dan halangan. Sebagai seorang yang lebih gemarkan
aktiviti ‘indoor’, saya agak ‘skeptikal’
dengan aktiviti- aktiviti perkemahan yang memerlukan tenaga
dan daya tahan lasak yang tinggi. Namun, apabila saya berjaya
menempuhi setiap halangan dengan penuh ketabahan, ia telah memberikan
saya satu inspirasi untuk menjadi seorang guru yang sanggup
menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam dunia pendidikan.
Sejarah
Penubuhan KRS
Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan dan diasaskan oleh
Muhammad Thani Bin Sha'aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah,
Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987. Pasukan ini pada
mulanya dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM)
yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-pelajar
Islam SMRA (PERWIRA) Keahliannya adalah seramai 20 orang pelajar
yang terdiri daripada pelajar daripada tingkatan 1 dan 2.
Matlamat utama penubuhannya ialah untuk melahirkan pelajar cemerlang
yang BERILMU BERIMAN dan BERAMAL, berakhlak mulia, bersemangat
patriotik dan berketrampilan, selaras dengan usaha dan hasrat
mengisi tuntutan Falsafah Pendidikan Negara ke arah Wawasan
2020.
Pasukan KPIM ini bernaung di bawah pengawasan Unit Pendidikan
Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Setiap aktiviti
yang dijalankan adalah berteraskan ISLAM SEBAGAI CARA KEHIDUPAN
(AD-DEEN). Mulai tahun 1989, beberapa buah sekolah di Wilayah
Persekutuan telah mula menubuhkan KPIM.
Pada tahun 1993, sebanyak 53 buah sekolah menengah di seluruh
negara telah menubuhkan KPIM. Usaha untuk menubuhkan KPIM secara
rasmi dan; bernaung di bawah Kementerian Pendidikan telah dimulakan
pada 10 Ogos 1993, dan satu pertemuan telah diadakan dengan
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid b. Wan Mohd
Nordin, iaitu Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada 13 September
1993. Tesis mengenai KPIM telah dibentangkan dalam pertemuan
ini. Hasil daripada pertemuan tersebut, sebuah jawatankuasa
kecil telah dibentuk untuk menyediakan kertas kabinet, dan jawatankuasa
ini telah mencadangkan agar pasukan ini diberi nama KADET PUTERA-PUTERI
ISLAM (KPIM).
Walaubagaimanapun, nama pasukan ini telah ditukar kepada KADET
REMAJA ISLAM (KRIS). Sementara itu, taklimat dan pendedahan
kepada Pengarah-pengarah bahagian Kementerian Pendidikan yang
telah diadakan pada bulan Oktober 1993 telah dipengerusikan
oleh Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd Zahid telah
membuat keputusan agar nama pasukan ini ditukar kepada Kadet
Remaja Sekolah yang membuka keahliannya kepada semua kaum sama
ada lelaki atau perempuan.
Upacara Pelancaran Kadet Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan
telah dilaksanakan pada 20 Jun 1995 bersamaan 21 Muharram 1416
oleh Yang Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Hj. Abdul Razak,
Menteri Pendidikan Malaysia di Sekolah Menengah Raja Abdullah,
Jalan Kepong, Kuala Lumpur.
Pada bulan November-Disember tahun yang sama, seramai 300 orang
guru telah dilatih sebagai jurulatih Kadet Remaja Sekolah peringkat
negeri. Pelaksanaan Kadet Remaja Sekolah sebenarnya mempunyai
keunikan konsep dan falsafahnya yang tersendiri yang membezakan
pasukan ini dari pasukan-pasukan beruniform yang lain. Kegiatan
yang dijalankan, digandingkan dengan unsur-unsur pengukuhan
dan pemantapan jiwa dan rohani setiap anggota pasukan. Pelajar
yang meanggotai pasukan ini bukan sahaja dibangunkan dari aspek
jasmaninya melalui kegiatan kegiatan yang mencabar inteleknya
melalui kegiatan-kegiatan kreatif, bahkan juga jiwa dan rohaninya
melalui amalan-amalan langsung ibadah khusus dan umum.
Objektif
Penubuhan KRS
• Membentuk generasi pelajar yang menjiwai semangat perpaduan,
memiliki ketrampilan diri, berdaya saing, kreatif serta inovatif
dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
•
Membantu mengembangkan semua aspek potensi manusia yang berteraskan
ilmu dan amal ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar
yang mengamalkan nilai-nilai murni selaras dengan tuntutan Falsafah
Pendidikan Negara demi menjayakan Wawasan 2020.
• Menangani masalah salah laku di kalangan para remaja
seperti salah guna dadah, melepak dan juvana.
• Mempelbagaikan kegiatan pasukan beruniform di sekolah
bagi menyediakan para pelajar memperoleh pengetahuan, pengalaman,
kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.
• Membina generasi pelajar patriotik yang menjiwai semangat
cintakan agama, bangsa dan negara.
• Melahirkan generasi pelajar yang mengetahui, memahami,
menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni serta mampu memberikan
sumbangan demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara
• Membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan
mengenai isu-isu semasa di kalangan pelajar serta berkeupayaan
untuk bertindak sewajarnya.
Logo
KRS
Perisai melambangkan tentang kefahaman diri daripada gejala
yang tidak sihat. Bulan dan bintang melambangkan Agama Islam
sebagai agama rasmi negara Malaysia . Dua tangkai padi bersilang
melambangkan resmi padi iaitu berilmu dan berketrampilan serta
matang dan rasional dalam semua tindakan. Buku yang terbuka
dan rehal melambangkan peranan institusi pendidikan yang mementingkan
tradisi ilmu untuk semua tanpa megira keturunan dan kaum, agama,
dan latar belakang budaya ke arah melahirkan bangsa Malaysia
selaras dengan Falsafah Pendidkan Negara.
-
Warna
hijau melambangkan alam sekitar yang sihat.
-
Warna
merah melambangkan keperwiraan dan sedia berjuang mempertahankan
negara yang tercinta.
-
Warna
kuning melambangkan warna diraja yang manjadi tonggak kedaulatan
negara Malaysia.
-
Warna
putih melambangkan keikhlasan dan kesucian. Warna hijau
malambangkan
Tunas
muda /remaja yang masih boleh dibentuk.
Laluan hidup yang jelas untuk masa hadapan.
Alam sekitar merupakan sebahagian daripada kurikulum.
Cogan kata KRS " ILMU IMAN AMAL"
ILMU
: Asas keintelektualan dan ketrampilan ahli KRS.
IMAN: Keimanan yang mendalam merupakan asas pembinaan diri.
AMAL: Penghayatan dan perlakuan gaya hidup sihat yang berterusan
merupakan natijah daripada kekuatan intelektual dan disiplin
diri
Lagu
KRS
Kadet Remaja Sekolah,
Menuju satu ikatan bersaudara,
Bersatu menjulang, keamanan Negara,
Menjayakan ilmu, iman dan amal.
Marilah
kita membina peribadi,
Membentuk insan yang kereatif,
Kearah kecermelangan diri,
Sepanjang masa yang berterusan.
Remaja
sambutlah cabaran,
Menjadi bangsa Malaysia,
Maju dan cemerlang, remaja berwawasan,
Jangan kita lupa kepada pencipta.
Remaja
hayati budaya,
Ilmu, iman dan amal,
Tetapkan di hati dan jiwamu,
Wawasan Kadet Remaja Sekolah.
Lagu: Mejar Muhammad Thani B. Shaaban
Lirik: Left. Ustaz Roslan B. Abd. Rahman
Muzik: Bah. Teknologi Pendidikan, Kementerian Pend. Malaysia
Download
Lagu KR
SURAT
PEKELILING IKHTISAS BIL.4/1995 :
PELAKSANAAN KADET REMAJA SEKOLAH (KRS)
BAHAGIAN SEKOLAH,
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
PARAS 5, BLOK J (SELATAN),
PUSAT BANDAR DAMANSARA,
50604 KUALA LUMPUR. Tel : 03 - 2556900
Fax : 03 - 2562389
Kawat : ``PELAJARAN"
________________________________________
KP(BS)8591/Jld.IV(4)
Tarikh : 19 Julai 1995
Semua Pengarah Pendidikan Negeri
Yang Berbahagia Datuk/Tuan,
SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL.4/1995 :
PELAKSANAAN KADET REMAJA SEKOLAH (KRS)
________________________________________
1.0
LATAR BELAKANG
1.1 Pelajar adalah aset yang amat berharga dalam menentukan
arah pembangunan pada masa akan datang. Dalam konteks pendidikan
kebangsaan kegiatan kokurikulum merupakan satu program penting
demi membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh. Secara
umum kegiatan kokurikulum yang sedia ada telah berjaya membina
disiplin pelajar serta meningkatkan minat mereka terhadap pembelajaran.
Namun demikian masih banyak ruang yang perlu dipenuhi untuk
mengatasi masalah generasi muda yang semakin mencabar. Bagi
mengisi tuntutan ke arah negara maju, kita perlu menyediakan
golongan pelajar yang dinamik dan berkualiti serta mempunyai
perkembangan sahsiah yang seimbang dari segi Jasmani, Emosi,
Rohani dan Intelek (JERI).
1.2 Menyedari keperluan ini Kadet Remaja Sekolah (KRS) hendaklah
ditubuhkan di semua sekolah menengah kerajaan dan bantuan kerajaan
seluruh negara sebagai salah satu pasukan Pakaian Seragam di
sekolah. Kewujudan KRS sekaligus dapat memenuhi kepelbagaian
citarasa, minat dan bakat pelajr berdasarkan objektif yang dikemukakan.
2.0 RASIONAL
Menyedari hakikat bahawa minat serta kecenderungan pelajar kepada
pasukan pakaian seragam di sekolah amat ketara sedangkan peluang
untuk menyertai amat terhad, wajarlah KRS ditubuhkan bagi tujuan
memenuhi minat serta untuk mengatasi masalah salah laku di kalangan
remaja seperti penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, budaya
lepak dan juvana. Oleh itu aktiviti KRS diharap dapat mengembangkan
semua aspek potensi manausia yang berteraskan ilmu dan amal
ke arah pembinaan dan pengukuhan sahsiah pelajar yang mengamalkan
nilai-nilai murni dan moral yang tinggi selaras dengan Falsafah
Pendidikan Negara.
3.0 MATLAMAT
Melahirkan pelajar cemerlang yang berminat, berakhlak mulia,
berilmu dan berketrampilan seiras dengan hasrat Falsafah Pendidikan
Negara ke arah menjayakan Wawasan 2020.
4.0 OBJEKTIF
4.1 Membina generasi bersemangat patriotik yang cintakan agama,
bangsa dan negara.
4.2 Melahirkan generasi yang mengetahui, memahami, menghayati
dan mengamalkan akhlak Islam serta mampu memberikan sumbangan
demi kesejahteraan hidup bermasyarakat dan bernegara.
4.3 Menyediakan peluang kepada pelajar untuk memperolehi pengetahuan,
pengalaman, kemahiran, kebolehan mengurus dan memimpin.
4.4 Membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan
di kalangan pelajar mengenai isu-isu semasa serta berkeupayaan
untuk bertindak sewajarnya.
45. Membentuk generasi yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki
ketrampilan diri, berdaya saing, bersemangat juang, kreatif
serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup.
5.0 STRUKTUR ORGANISASI
5.1 Struktur organisasi Peringkat Kebangsaan, Negeri dan Daerah
seperti berikut:
a. Penaung
b. Penasihat
c. Pengerusi
d. Timbalan Pengerusi
e. Naib Pengerusi
f. Setiausaha Kehormat
g. Penolong Setiausaha Kehormat
h. Bendahari Kehormat
i. AJK dilantik
5.2 Jawatankuasa terdiri daripada empat peringkat:
a. Peringkat Kebangsaan
b. Peringkat Negeri
c. Peringkat Daerah
d.Peringkat Sekolah
Maklumat lengkap struktur organisasi boleh didapati dalam Perlembagaan
KRS.
6.0 KEAHLIAN
6.1 Keahlian KRS adalah terbuka semua pelajar di sekolah kerajaan
dan sekolah bantuan kerajaan.
6.2 Ahli bersekutu KRS terbuka kepada semua pelajar yang menuntut
di institusi pendidikan selain daripada dinyatakan dalam perkara
6.1
6.3 KRS yang dianggotai oleh ahli bersekutu diurus oleh institusi
di mana KRS itu ditubuhkan.
6.4 Keahlian KRS lucut serta merta apabila pelajar tersebut
berhenti atau diberhentikan daripada sekolah atau institusi
seperti yang dinyatakan di atas.
7.0 KURIKULUM
7.1 Teras
a. Pendidikan Ketatanegaraan/Patriotisma
b. Latihan Fizikal
c. Pendidikan Kerohanian
7.2 Umum
a. Aktiviti Di air
b. Aktiviti Di darat
c. Aktiviti Pengembaraan
d. Latihan Mental
e. Latihan Kewarganegaraan
f. Aktiviti Ketahanan Diri
g. Aktiviti Pendidikan Luar
h. Aktiviti Pendidikan Alam Sekitar
i. Aktiviti Kemahiran Hidup (Keusahawanan)
j. Aktiviti Khidmat (Khidmat Masyarakat)
8.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN
8.1 Fokus utama pengurusan dan pelaksanaan aktiviti KRS peringkat
Kebangsaan, Negeri dan Daerah ialah seminar dan bengkel konsep
dan operasi KRS.
8.2 Kursus Pemimpin di peringkat sekolah menumpukan kepada aspek-aspek
pelaksanaan aktiviti KRS.
9.0 YURAN KEAHLIAN
9.1 Yuran Keahlian dikenakan sebanyak RM 1.00 bagi setiap ahli.
10.0 PAKAIAN SERAGAM (UNIFORM)
Maklumat terperinci mengenai pakaian Seragam (Uniform) boleh
didapati dalam buku Perlembagaan KRS.
11.0 KESELAMATAN DIRI
12.0 PENGECUALIAN
Pelajar-pelajar dalam keadaan seperti berikut boleh dikecualikan
daripada menyertai KRS
12.1 Kes-kes Perubatan, Pelajar-pelajar yang telah disahkan
oleh doktor mengidap sakit jantung. lelah dan lain-lain penyakit
yang boleh membahayakan jika mengambil bahagian dalam aktiviti
KRS.
12.2 Kecacatan, Pelajar-pelajar yang mempunyai kecacatan anggota
tubuh yang boleh membahayakan diri mereka jika mengambil bahagian
dalam aktiviti KRS. Tetapi sekiranya kecacatan mereka tidak
menjadi penghalang, pelajar-pelajar tersebut hendaklah digalakkan
mengambil bahagian dalam aktiviti yang sesuai bagi mereka .
12.3 Kelas Agama, untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas-kelas
agama di waktu pagi/petang, satu penyesuaian terhadap aktiviti
KRS hendaklah diadakan. Untuk tujuan ini, Pengetua hendaklah
berunding dengan pihak sekolah/Jabatan berkenaan .
13.0 PEMANTAUAN
13.1 Tugas pemantauan hendaklah dilakukan oleh:
a. Pengarah Pendidikan Negeri
b. Pegawai Pendidikan Daerah
c. Pengetua
d. Ketua Penolong Pengarah dan Penyelia Kokurikulum JPN
e. Penyelia Pejabat Pendidikan Daerah
13.2 Pemantauan merangkumi perkara-perkara berikut:
a. Laporan aktiviti
b.Laporan kewangan
14.0 Sila maklumkan kandungan Pekeliling ini bersama-sama dengan
lampirannya kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan
di negeri Y. Bhg. Dato'/Datuk/Tuan.
Sekian, terima kasih.
``BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
(TAN SRI DATUK DR. WAN MOHD ZAHID BIN MOHD NORDIN)
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
s.k. 1. Y. B. Datuk Seri Mohd. Najib b. Tun Hj. Abdul Razak
Menteri Pendidikan Malaysia
2. Y. B. Datuk Khalid b. Yunus
Timbalan Menteri Pendidikan
3. Y. B. Datuk Dr Fong Chan Onn
Timbalan Menteri Pendidikan
4. Ketua Setiausaha
Kementerian Pendidikan Malaysia
5. Timbalan Ketua Setiausaha I
Y.B. Menteri Pendidikan Malaysia
6. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan I
Kementerian Pendidikan Malaysia
7. Timbalan Ketua Setiausaha II
Kementerian Pendidikan Malaysia
8. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan II
Kementerian Pendidikan Malaysia
9. Semua Ketua Bahagian
Kementerian Pendidikan Malaysia
10. Ketua Perhubungan Awam
Kementerian Pendidikan Malaysia