KELUARGA MALAYSIA
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia
1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenan-Nya, kita semua dapat berhimpun di Auditorium Perdana bagi menyempurnakan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia yang amat bermakna ini.
Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
CIRI – KETERANGKUMAN
2. Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia, dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini. Jawapannya mudah; kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.
3. Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia. Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ (atau inclusivity) dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.
4. Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih yang membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia. Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahankan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini.
5. Amalan hidup saling bermuafakat dan tidak berpecah belah yang kita amalkan sebagai Keluarga Malaysia umpama peribahasa ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’.
6. Majlis Prapelancaran ini merupakan manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan, untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat. Ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui.
7. Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam, kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam setiap keluarga. Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.
8. Kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.
9. Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia, yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia.
"TEKS PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI
"Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia. Alhamdullilah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat bersua pada malam ini. Sepanjang tahun 2021, kita melalui cabaran dan dugaan yang pelbagai. Namun, ini tidak sesekali mematahkan semangat Keluarga Malaysia. Yakinlah kita, seperti janji Allah SWT, setiap kesukaran disertai kemudahan..
"Berbekalkan keyakinan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh Keluarga Malaysia. Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baru dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia.
"Syukur Alhamdulillah, dalam berdepan dengan cabaran COVID-19, kita semua rakyat Malaysia telah bangkit bersama menentang kemaraan penularan wabak ini dengan satu keazaman dan semangat kesepaduan yang amat luar biasa. Walaupun pelbagai dugaan datang melanda sepanjang tahun 2021, rakyat Malaysia telah menunjukkan sikap positif dan daya ketahanan yang cukup kental dan amat membanggakan. Terima kasih rakyat Malaysia.semoga kita sentiasa diberkati dan dipermudah segala urusan. Marilah kita bersama-sama melangkah ke tahun baharu 2022 dengan lebih gagah, yakin dan berani bahawa tahun yang baharu ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insya-Allah.
"Bersama-sama kita bawa semangat baharu ini ke tahun 2022.
" Wabillahi al-Taufiq wal hidayah, wassalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.